Home Santai “Adam Rayqal Tunggu Kami Di Syurga”

“Adam Rayqal Tunggu Kami Di Syurga”

108 views
0
SHARE

KUALA TERENGGANU: “Saya tahu Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga,” kata Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, bapa kepada bayi lima bulan yang mayatnya ditemui disorokkan dalam bahagian pembeku peti sejuk dua pintu di rumah pengasuhnya semalam.

Mohd Sufi yang ditemui dalam keadaan sebak, menzahirkan rasa terima kasih atas sikap cakna rakyat Malaysia yang turut membantu mencari anaknya sebaik dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya.

“Saya selaku ayah Adam Rayqal mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi membantu pencarian anak kami.

“Walaupun kita tahu kita mengharap yang terbaik untuk jumpa Adam Rayqal tetapi Allah lebih sayangkan dia.

“Kalau ada yang share (kongsi) gambar yang tidak sepatutnya, minta tolong hormati privasi arwah Adam Rayqal,” katanya ketika ditemui di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, di sini, malam ini.

Jenazah Adam Rayqal selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu jam 10.30 malam. Sebelum itu, jenazah bayi itu tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah jam 9.53 malam untuk solat jenazah.

Jenazah Adam Rayqal dipangku datuknya, Mohd Fauzi Jusoh, 61, masuk ke kawasan tanah perkuburan itu.

Lebih 1,000 orang hadir termasuk ahli keluarga, penduduk setempat yang terkejut dengan kejadian itu. Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan berkenaan sepanjang proses pengebumian anak syurga itu.

Terdahulu, jenazah Adam Rayqal tiba di rumah datuknya di Taman Chendering Utama, Chendering, di sini, jam 9.25 malam. Turut hadir di rumah keluarga datuk mangsa adalah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Malah, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota turut hadir di tanah perkuburan memasang lampu agar proses pengebumian berjalan lancar selain polis yang mengawal lalu lintas.

Jenazah Adam Rayqal selesai dibedah siasat pada jam 2 petang sebelum dimandi dan disembahyangkan di surau IPFN HKL pada jam 2.15 petang dan dibawa keluar pada jam 3.06 petang.

Jenazah bayi malang yang dibalut dengan kain batik dipangku ibunya dibawa menaiki kereta Honda Jazz bersama bapanya serta beberapa ahli keluarga untuk dikebumikan di sini.

 

 

Comments

comments

SHARE