Home Santai ‘Bang, Ada Duit? Kami Lapar’

‘Bang, Ada Duit? Kami Lapar’

1,394 views
0
SHARE

Tengah makan, tiba-tiba terdengar suara dari belakang.

“Bang, oh bang”

“Ya, kenapa?” saya tanya.

“Ada duit kah? Lapar,” kata mereka.

“Kalau begitu, marilah duduk sini, kita makan bersama-sama,” kata saya sambil menarik kerusi di sebelah dan menyuruh mereka duduk.

Umur mereka berdua antara 8 atau 9 tahun. sebab apabila ditanya, mereka tidak tahu berapa umur mereka.

Saya tanya siapa nama mereka, seorang namanya Melvin. Yang duduk di sebelah saya, namanya Tutu. Ditanya sama ada itu nama betul atau tidak, mereka seperti tidak tahu dan malu-malu. Jadi saya abaikan sajalah.

Saya panggil pelayan datang mengambil pesanan mereka berdua. Saya pun tanya apa yang mereka mahu makan. Melvin kata dia mahu makan ayam, jadi saya suruh pelayan berikan dua pinggan nasi ayam.

“Minum apa?”

“Milo ping! (milo ais),” jawab mereka.

Saya tanya mana yang lain, apakah hanya mereka berdua sahaja? Menurut Melvin, abangnya ada di ‘sana’, sedang mencari sampah. Ibunya sudah meninggal dunia. Manakala bapa mereka di Kota Kinabalu dan telah meninggalkan mereka ketika mereka sedang tidur.

“Bapa di KK, kasi tinggal kami masa kami tidur. Bila aku bangun, bapa aku tiada. Aku menangis,” katanya.

“Jadi, macam manalah kamu makan setiap hari?” soal saya.

“Kami selalu cari makanan di sampahlah. Kami makan keropok, makan KFC bekas-bekas orang makanlah kebiasaannya,” jelasnya.

“Nanti kalau kamu pergi cari sampah, kamu cari tin atau besi. Kamu kumpul banyak-banyak, lepas itu kamu jual. Nanti tak adalah kamu makan makanan yang ada di sampah. Sudah boleh beli makanan di kedai makanan yang bersih,” nasihat saya pada mereka berdua.

Saya tanya lagi, bila mereka dewasa kelak mereka mahu kerja apa?

“Mahu kerja (buat) bangunan sebab bapa kami ada ajar dulu. Aku pandai paitung simen, pandai mengecat. Abang aku pun sama tapi dia pandai tukang kayu jugalah,” katanya.

Terus Melvin menunjukkan seliparnya sebelah berbeza.

“Dulu aku tiada selipar ini pun aku jumpa di sampah. Masa aku tiada selipar, tiada orang mahu kawan dengan aku. Tetapi sekarang sudah adalah walaupun selipar sebelah lain-lain,” katanya.

Saya nak ketawa pun ada, rasa sedih pun ada. Selepas itu dia buka baju dan tunjukkan tali pinggangnya.

“Ini pun aku dapat dari sampah juga (lambang polis tali pinggangnya), yang dipakai khas bila masa kokum uniform budak sekolah,” katanya.

Bila tengok Melvin makan gelojoh sangat, saya suruh dia makan perlahan-lahan pun masih nampak betapa laparnya dia.

Siapa pun, macam mana pun rupa, apa bangsa sekalipun, sekiranya kita boleh membantu orang, kita bantulah sebaik yang mungkin. Dalam rezeki kita pasti ada rezeki orang lain. Hari ini saya anggap ini rezeki mereka berdua sebab Allah pilih saya untuk mereka datang dan meminta tolong. Alhamdulillah ada kelebihan, dapat ajak sekali dan bercerita kisah hidup mereka.

Hidup kita juga tidak selalunya senang. Mungkin hari ini kita rasa selesa dan rasa senang. Siapa tahu suatu hari nanti kita diberi ujian. Jadi, hidup ini jangan sombong dan jangan kedekut sebab dalam Islam kita diajar untuk bersedekah dan banyak cara untuk kita bersedekah. Hari ini cara yang saya buat adalah sedekah, ajak makan sekali. Saya kenyang dan mereka pun kenyang. Saya gembira melihat mereka makan dan tentunya mereka gembira sebab dapat makan.

Saya selalu ingat sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat pada orang lain. Jadi sekiranya ada kemampuan, tidak salah untuk membantu orang lain.

Ingat juga tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Tidak akan rugi jika kita bersedekah. Sebanyak mana kita bersedekah, tidak akan habis rezeki kita. Malah ia akan ditambah oleh Allah.

Sumber : Mohd Shafiq

Comments

comments

SHARE