Orang Bujang Takut Kahwin Sebab Kos Sara Hidup Meningkat?

Perkahwinan memerlukan belanja yang agak besar dan dengar kata ramai individu bujang di Malaysia sekarang takut mendirikan rumah tangga disebabkan peningkatan kos sara hidup.

Pendapat ini dikongsikan oleh pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh.

“Baru-baru ini, ada individu yang menemui saya. Dia nak kahwin dalam tempoh setahun lagi dan mula risau apabila susah nak kumpul duit akibat kos sara hidup yang meningkat dengan gaji yang kecil.

“Dia juga risau kos yang terpaksa dihadapi selepas melangsungkan perkahwinan. Kebimbangan sebegini sebenarnya yang membuatkan ramai individu di negara ini tidak berkahwin,” katanya.

Beliau menambah, ramai pasangan yang sudah berkahwin pula datang menemuinya meminta nasihat kerana menghadapi konflik rumah tangga akibat masalah kewangan selepas
berkahwin. Paling ramai di kalangan mereka ini ialah yang pernah berhutang untuk melangsungkan perkahwinan.

“Secara realiti, kos sara hidup tidak akan pernah turun dan sentiasa naik, jadi nasihat saya bagi mereka yang baru berkahwin, jangan lakukan perubahan mendadak dalam hidup. Maksudnya, cuba kekalkan apa yang ada. Kekalkan kereta, ruamh sewa cari yang harga berpatutan dan kurangkan makan di luar,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas tentang individu lambat kahwin pula, beliau berkata ia akan menyumbang kepada penurunan kadar pertumbuhan penduduk negara.

“Apabila lambat kahwin, ia akan menyumbang kepada masalah kesuburan. Makananya untuk dapat anak itu semakin sukar, seterusnya meletakkan kadar populasi negara dalam
situasi yang tidak baik,” katanya.

Bagi kami, urusan perkahwinan ini sepatutnya dipermudahkan bukan sebaliknya. Peningkatan kos sara hidup terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur pastinya akan menyebabkan bakal-bakal pengantin ini untuk mencari alternatif mudah dengan membuat pinjaman peribadi dari pihak bank.

Apa yang sangat dikesalkan di sini adalah rata-ratanya, jumlah pinjaman yang besar ini akan dibelanjakan untuk majlis perkahwinan tanpa ada sebarang simpanan untuk memulakan kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Sepatutnya, bakal-bakal pengantin ini perlu memikirkan pelbagai perkara penting seperti membeli kediaman selepas berkahwin ataupun membuat simpanan di ASB ataupun Tabung Haji sebagai persiapan sekiranya bergelar ibu bapa. Mungkin terlalu berlumba-lumba mengikut trend dan citarasa yang mengalahkan kemampuan masing-masing menyebabkan ramai golongan pengantin-pengantin baru ini terpaksa mengikat perut untuk bertahun-tahun lamanya selepas mendirikan rumah tangga.

JM Comment

comments

Add Comment

Shares
Share This