Home Semasa Polis Buru 2 Suspek Samun Telefon Bimbit Dan Wang Tunai RM50

Polis Buru 2 Suspek Samun Telefon Bimbit Dan Wang Tunai RM50

107 views
0
SHARE

Dua lelaki kini menjadi buruan polis selepas bertindak menyamun wang tunai RM50 dan telefon bimbit daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ketika kejadian mangsa berseorangan di hadapan sebuah pasar mini Jalan Rusa, Taman Selamat, di sini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang sedang duduk di atas motosikalnya, dihampiri dua suspek yang keluar dari sebuah kereta bersama senjata.

“Dua suspek yang bersenjatakan parang dan batang besi itu kemudian menyeluk poket seluar dan baju mangsa dan mengarahkannya menyerahkan semua barang berharga.

“Suspek merampas barang berharga milik mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama dinaiki mereka. Mangsa yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan polis pada jam 12.50 tengah hari,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang tidak berkerja itu tinggal bersama ibu bapanya dan mengalami masalah kemurungan.

Katanya, mangsa keluar dari rumah pada jam 12 tengah malam ke gerai makan untuk bersarapan tetapi ia hanya dibuka pada jam 5 pagi.

“Antara yang disamun ialah wang tunai RM50, telefon bimbit dan barangan peribadi lain miliknya termasuk kad pengenalan dan lesen memandu. Suspek sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Comments

comments